Pantun

Soalan Peperiksaaan :

Baca petikan pantun dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

PANTUN KASIH SAYANG

Buah mengkudu kusangka kandis,
Kandis terletak dalam puan,
Gula madu kusangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.

Asap api di Tanjung Tuan,
Kuala Linggi bakaunya rendah,
Harap hati kepada tuan,
Langit tinggi kupandang rendah.

Anak udang meniti batang,
Berasa dahan terlampai,
Melihat bulan dipagar bintang,
Bagai rasa hendak dicapai.

Jalan-jalan sepanjang jalan,
Singgah-menyinggah di pagar orang,
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

Bila masa dipanggil maut,
Cinta tidak berharga lagi,
Asam di darat ikan di laut,
Sampai masa berjumpa lagi.

(Dipetik daripada antologi Baik Budi,Indah Bahasa
Tingkatan 2, Arah Pendidikan Sdn Bhd)

i) Berdasarkan pantun kasih sayang, nyatakan bentuk pantun tersebut.  [3 markah]

ii) Nyatakan unsur-unsur alam yang digunakan oleh pengarang dalam pantun tersebut. [3 markah]

iii) Nilai kasih sayang sangat penting dalam diri seseorang. Nyatakan impak sekiranya nilai ini terhakis dalam masyarakat hari ini? [4 markah]

Skema Jawapan :

i) Nyatakan bentuk pantun tersebut  [3markah]

– Mempunyai lima rangkap
– 4 hingga 5 patah perkataan dalam satu baris
– Rima akhir a b a b
– 8 hingga 10 suku kata dalam satu baris
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas

ii) Unsur-unsur alam yang terdapat dalam pantun [3 markah ]

– Buah mengkudu
– kandis
– bakau
– ikan, udang
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas

iii) Impak terhakis nilai kasih sayang dalam masyarakat di negara kita  [4 markah]

1. Masyarakat hidup dalam keadaan pentingkan diri sendiri.
2. Tidak wujud nilai perpaduan dalam masyarakat kerana saling tidak bertegur sapa.
3. Jenayah semakin berleluasa kerana sikap masyarakat yang tidak cakna antara satu sama lain.
*Isi cukup : 2 daripada isi di atas atau isi-isi lain yang relevan

Leave a comment